Kolumpo

Mendapan: Penduduk Kampung Pindah diarah pindah

KUALA LUMPUR: Sebanyak 30 keluarga penghuni 10 rumah di Kampung Pindah dekat Kampung Baru di sini yang terbabit dengan kejadian mendapan tanah berikutan hujan lebat semalam, diarah berpindah segera ke penempatan sementara di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Air Panas, Setapak.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata langkah itu penting bagi menjamin keselamatan penduduk di kawasan berkenaan.
"Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan membantu dalam pemindahan tersebut...rumah-rumah (PPR) ini mungkin siap petang esok," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga berkenaan di Dewan Orang Ramai Jalan Hamzah di Kampung Baru hari ini.
Kampung Pindah yang juga sebuah kampung dalam kawasan Kampung Baru, terletak berdekatan Wisma PERKESO di Jalan Tun Razak.

Raja Nong Chik turut meminta Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) supaya melakukan siasatan secepat mungkin di sekitar Kampung Pindah.

"IKRAM (mungkin) ambil masa sedikit pasal mereka perlu buat kajian tanah dan juga tekanan air dan lain-lain. Saya diberitahu dalam masa sebulan, IKRAM akan cuba siapkan laporan tersebut," katanya.

Beliau berkata, masa dua minggu diberikan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan untuk menyiapkan proses pemulihan sistem perparitan di Kampung Pindah bagi jangka pendek.
Raja Nong Chik yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, Yayasan Wilayah Persekutuan, UMNO serta Barisan Nasional (BN) akan memberi bantuan makanan dan kewangan bagi meringankan beban keluarga terbabit.

Sementara itu, wakil keluarga berkenaan Abdul Ghani Mohd Nor, 47, berkata mendapan tanah tersebut adalah yang kedua berlaku di kampung berkenaan.

"Kejadian kali ini teruk... sebelum ini, ia berlaku pada 24 Februari lalu tetapi tidaklah (berlaku) tanah jerlus macam ini," katanya sambil menjelaskan mendapan tanah itu berlaku kira-kira 8.30 malam tadi selepas hujan berhenti.

Beliau berkata, kejadian kali pertama hanya membabitkan rekahan jalan raya dan sebanyak 17 keluarga terpaksa berpindah ke kawasan selamat.

Abdul Ghani juga mendakwa longkang air dari Sungai Bonus berhampiran Wisma Bernama yang mengalami sedikit keretakan, ditambah limpahan dari Sungai Klang berhampiran Kampung Baru, menyebabkan air mudah melimpah bawah tanah di kawasan Kampung Pindah.

"Apabila air itu tidak dapat mengalir masuk ke Sungai Klang dengan sempurna, maka ia melimpah di bawah tanah dengan begitu deras," katanya yang turut mendakwa limpahan air bawah tanah itu mencetuskan letupan sehingga menghasilkan lubang besar sedalam 20 hingga 25 kaki.

Katanya, penduduk kampung itu sentiasa diselubungi kebimbangan setiap kali hujan lebat berikutan masalah sistem perparitan di Sungai Klang yang sering tersekat oleh sampah-sarap. - BERNAMA




Tu dia....kerajaan nak curik tanah kampung baru.....
hahahaha...Manusia-manusia.... 

Tiada ulasan: